Sikap Wan Azizah Punca DAP dan PKR Sarawak Berbalah


Meskipun DAP dan PKR berulang-kali menafikan campurtangan pemimpin pusat Pakatan Pembangkang dalam ehwal kedua-dua parti itu di negeri ini, namun kekecohan yang berlaku antara PKR dan DAP Sarawak ketika ini membuktikan sebaliknya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 11 yang dilaporkan bakal berlangsung dalam bulan April nanti, isu pertindihan kerusi dilihat menjadi punca PKR dan DAP di negeri ini terus bertikam lidah, meskipun rundingan dikatakan sedang berlangsung.

Tindakan beberapa pemimpin PKR dari Semenanjung yang sewenang-wenang mengumumkan calon untuk kerusi masing-masing berdasarkan keputusan pimpinan PKR pusat dikatakan menjadi punca pertelagahan tersebut.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, PKR tidak menunjukkan kejujuran di pihak mereka apabila pimpinan pusat parti itu mengumumkan calon-calon parti mereka untuk kerusi-kerusi yang sedang dipertikaikan ketika rundingan sedang berjalan.

Kekesalan itu diluahkan Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan semalam.

“Daripada 22 kerusi yang presiden PKR Wan Azizah umumkan untuk calon PKR baru-baru ini, sekurang-kurangnya tujuh masih sedang dibincangkan,” katanya

Chong menambah, beliau menahan dirinya daripada membuat sebarang kenyataan kerana DAP Sarawak mahu membantu PKR memastikan pertandingan satu-lawan-satu, dan supaya rundingan antara dua parti itu tidak terjejas.

Walau bagaimanapun, Chong menjelaskan kepimpinan PKR dari Semenanjung mengambil kesempatan terhadapnya yang berdiam diri, termasuklah Datuk Seri Dr Wan Azizah, Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar.

Malah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang dihalang memasuki Sarawak, namun sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terus mengumumkan calon mereka meskipun rundingan sedang berjalan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa membidas sikap pimpinan PKR pusat berhubung agihan kerusi PRN Sarawak yang sepatutnya masih dalam rundingan.

Tambahnya, ada banyak lagi isu yang boleh disebut semasa berkunjung ke Sarawak daripada mengumumkan calon PKR.

“DAP Sarawak tidak boleh berdiam diri ketika pengumuman kerusi itu diumum kepimpinan tertinggi PKR kerana ia mewakili pendirian seluruh parti itu.

“Apakah itu menunjukkan rundingan antara kedua parti kini telah tamat,” soalnya.

Terdahulu, Ketua PKR Sarawak Baru Bian dalam satu kenyataan menggesa DAP Sarawak agar lebih berdisiplin dan tidak melakukan serangan terbuka terhadap parti PKR.

Baru Bian meminta Chong Chien Jen untuk menasihat ahli-ahlinya (DAP Sarawak), dan menghalang mereka daripada membuat kenyataan keras terhadap ahli dan pemimpin-pemimpin PKR pusat. - Sarawakiana

0 Response to "Sikap Wan Azizah Punca DAP dan PKR Sarawak Berbalah"

Post a Comment

wdcfawqafwef